JDT ke China tanpa Benjamin Mora

Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ke China tanpa Benjamin Mora selepas Ketua Jurulatih dari Mexico itu sedang menyertai Kursus Kejurulatihan Diploma Professional AFC 2019-2020 yang dijadualkan sehingga 17 April, di Hotel Armada, Petaling Jaya.

Tugas Benjamin Mora diambil alih oleh rakan setugas, Luciano Figueroa dan Jurulatih Kecergasan, Jorge Alvarez sepanjang berada Jinan, China bagi menghadapi saingan AFC Champions League menentang Shandong Luneng malam ini.

Walaubagaimanapun, ianya tidak mempunyai masalah kerana pemain-pemain sudah bersiap sedia dan akan turun seperti mana prestasi yang ditunjukkan ketika dua aksi sebelum ini. JDT berjaya mengikat Gyeongnam FC di Larkin pada 12 Mac lalu dan tewas 1-2 kepada Juara bertahan, Kashima Antlers.

Gonzalo Cabrera diasak pemain Kashima Antlers. Foto: the-afc.com

“Kami akan bermain dengan sehabis baik sepanjang tempoh perlawanan 90 minit berlangsung. Apa yang boleh saya katakan adalah buat masa ini kesemua pemain berada pada tahap keyakinan yang terbaik.” Kata Jorge Alvarez

Mora bersama dengan lapan Ketua Jurulatih pasukan Liga Super Malaysia juga tidak akan bersama pasukan mereka untuk aksi Liga Super ke-9 (LS9) pada hujung minggu ini dan perlawanan pusingan ke-3 Shopee Piala FA yang akan berlangsung pada pertengahan minggu hadapan.

Kursus yang ditawarkan adalah merupakan lesen tertinggi dalam kerjaya jurulatih bola sepak dan hanya terbuka kepada jurulatih yang mempunyai lesen “A” AFC selama dua tahun dan berpengalaman mengendalikan kelab professional dalam Liga Malaysia atau skuad kebangsaan.

Lapan orang jurulatih Liga Super Malaysia yang bersama-sama Benjamin Mora adalah Jurulatih Pahang, Dollah Salleh, K. Devan (Petaling Jaya City), Mehmet Durakovic (Perak), Zainal Abidin Hassan (Melaka United), Nidzam Jamil (FELDA United), Irfan Bakti (Terengganu FC), Abu Bakar Fadzim (PKNP FC) dan Aidil Shahrin Sahak (Kedah).

Seramai 17 orang lagi jurulatih daripada pelbagai pasukan turut mengikuti kursus selama 10 hari ini. Mengikut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman sosial, kursus ini dikendalikan oleh instruktur UEFA dari Denmark, Flemming Mark Serritslev yang merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Denmark, pengarah teknikal bagi Persatuan Bolasepak Denmark dan bekas pengarah teknikal untuk Liga Profesional Iran.