JDT mudah sahaja benam Melaka United

May be an image of 2 people and people playing sports

Juara tujuh musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merasai nikmat kemenangan selepas berjaya menundukkan Melaka United 3-0 pada aksi keenam Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut nyata amat ditagih skuad bimbingan Benjamin Mora itu selepas mereka sekadar mencatatkan keputusan seri bertemu Selangor dan Perak.

Beraksi di laman sendiri yang turut dimeriahkan dengan kembalinya penyokong setia ke stadium, JDT tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan.

May be an image of 1 person and playing a sport

Hal ini kerana pemain pertahanan, Adam Nor Azlin berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran menarik menerusi sepakan penjuru yang diambil Leandro Velaszuez pada minit keempat perlawanan.

Kem tuan rumah terus melonjak kegembiraan berselang empat minit kemudian apabila Bergson Da Silva dengan tenang menolak masuk bola susulan salah faham melibatkan Khairul Fahmi Che Mat dan Jang Sukwon dalam kawasan penalti.

Meskipun selepas itu JDT terus mendominasi aksi tetapi Melaka memiliki beberapa peluang terbaik untuk merobek gawang skuad Harimau Selatan.

Antara percubaan menarik yang berjaya dicipta ialah rembatan sepakan percuma yang diambil Sony Norde pada minit ke-38 hanya sedikit sahaja melewati palang gol.

May be an image of 1 person

Memasuki babak kedua, Norde terus menghadirkan ancaman buat JDT apabila rembatannya dari luar kawasan penalti sudah berjaya menewaskan Haziq Nadzli tetapi tiang gol menjadi penghalang.

Pemain gantian, Mohamad Fakhrullah Rosli juga harus menyalahkan dirinya setelah percubaan susulan yang dilakukannya pada minit ke-73 ketika rembatan awal Norde ditepis keluar Haziq, tersasar di sebelah kanan pintu gol.

Ketika aksi sebenar hanya berbaki lapan minit, Bergson mematikan api perjuangan Melaka United dengan gol ketika selepas beliau mendapat lorongan cantik daripada Mohamadou Sumareh untuk perlawanan berkesudahan 3-0.

Kemenangan itu terus meletakkan JDT di tangga teratas Liga Super dengan 14 mata hasil empat kemenangan dan dua keputusan seri.

Sementara itu dua lagi perlawanan pada malam ini berkesudahan Kedah Darul Aman berjaya menundukkan Sri Pahang FC 3-1 manakala Terengganu FC dan PJ City FC terikat tanpa jaringan di Gong Badak.

Image Features: JOHOR Southern Tiges