JDT sah beraksi di AFC Champions League 2021

Juara Liga Super musim 2020, Johor Darul Ta’zim FC (JDT) sah dibenarkan beraksi dalam saingan AFC Champions League edisi 2021.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan dan Exco AFC yang meluluskan permohonan JDT untuk bertanding selepas menarik diri musim lepas kerana tidak mendapat pelepasan daripada kerajaan Malaysia.

“Jawatankuasa pertandingan dan Exco sudah luluskan permohonan JDT,” kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John (gambar) kepada Utusan.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor dan sokongan kerajaan yang telah memberi surat dan sebagainya.”

Pada 11 Nov lepas, JDT tidak dapat melengkapkan baki saingan peringkat kumpulan di Doha selepas tidak mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk keluar negara kerana bimbang dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

Juara Liga Super Malaysia untuk 7 tahun berturut-turut terlepas hukuman penggantungan sepertimana digembar gemburkan oleh pihak media susulan penarikan diri itu.

JDT akan menyertai majlis undian ACL 2021 yang berlangsung pada 27 Januari ini.