JDT tambah derita Sri Pahang

Hasrat Sri Pahang untuk mengutip sekurang-kurangnya 1 mata di halaman sendiri tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 0-2 kepada JDT di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Dalam perlawanan ini, skuad Tok Gajah mengekalkan barisan yang sama ketika perlawanan menentang Kuala Lumpur minggu lepas tanpa khidmat pemain pertahanan import, Harold Goulon dan Mamadou Wague.

Manakala JDT menurunkan 5 pemain import dalam kesebelasan utama termasuk penyerang terbanyak Liga Super ketika ini, Bergson Da Silva.

Sebaik sahaja pengadil meniup wisel sepak mula pada pukul 10 malam sempena bulan ramadan, JDT terus melancarkan serangan dan memaksa benteng pertahanan Sri Pahang bekerja lebih keras di awal minit perlawanan.

May be an image of 2 people, people playing football and grass

Sri Pahang juga berpeluang menjaringkan gol pembukaan pada minit ke 19 namun rembatan Shahrul Nizam dalam kotak penalti berjaya ditepis oleh penjaga gol pelawat, Farizal Marlias.

4 minit kemudian, JDT akhirnya menjaringkan gol pertama melalui Leandro Velazquez yang mudah merembat masuk dalam situasi kelam kabut di kotak penalti.

Sri Pahang cuba bangkit mengatur serangan namun mereka kelihatan sukar menembusi benteng pertahanan JDT yang dikawal oleh Adam Nor Azli dan Mauricio Dos Santios. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua, Sri Pahang terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Ezanie Mat Salleh diarahkan keluar padang kerana mengutip kad kuning kedua akibat melakukan terjahan keras ke atas Gonzalo Cabrera.

May be an image of 3 people

Namun situasi itu langsung tidak mematahkan semangat Sri Pahang untuk terus memburu jaringan penyamaan dan kemasukan Malik Mat Ariff serta Zuhair Aizat turut mengubah corak serangan mereka.

Bagaimanapun, JDT berjaya menambah gol kedua pada minit akhir perlawanan melalui Bergson Da Silva yang bijak melepasi kawalan Faisal Rosli dalam kotak penalti.

Keputusan 2-0 menyaksikan JDT kini kekal di tangga teratas Liga Super dengan 23 mata manakala Sri Pahang terus bergelut di kedudukan tercorot.