Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak pernah membuat tawaran kepada pemain dari Brazil, Isael Da Silva Barbosa untuk mengisi slot pemain import JDT musim depan.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh JDT Manager & Head Coach, Luciano Figueroa menerusi laman sosial rasmi, JOHOR Southern Tigers.
Dalam pengumuman tersebut, Luciano memaklumkan pasukan JDT hanya meninjau pemain tersebut, namun menyatakan tidak akan menandatangani pemain tersebut.
Tambah Luciano juga, mereka sudah mempunyai pemain lain yang lebih sesuai dengan pasukan tersebut dan suasana bola sepak di Asia. Memetik kenyataan beliau, “Kami berada dalam perbincangan terakhir dan sedang menunggu untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum kami dapat mengumumkan pemain tersebut.”

Menutup pengumuman sebentar tadi, Luciano menegaskan yang semua
khabar angin mengenai Isael Barbosa dan pasukan Johor adalah tidak benar
sama sekali, termasuklah berkenaan profail pemain tersebut di laman
sesawang Transfermarkt yang tular sejak akhir-akhir ini.