KAF hasrat ambil alih Felda United FC

Kami Anak Felda (KAF) sedang memperhalusi beberapa perkara sebelum membuat keputusan sama ada akan mengambil alih pengurusan Kelab Bola Sepak Felda Uni­ted (FUFC).

Ketua Biro Ekonomi KAF, Datuk Amizar Abu Adam berkata, KAF perlu meneliti beberapa perkara seperti pengurusan dan kewangan sebelum membuat keputusan bagi memastikan pengambil alihan pengurusan FUFC mencapai matlamat memperkasakan kelab itu.

“Secara dasarnya kita terbuka dan menerima kerana ia adalah platform kepada generasi muda Felda dan ruang untuk KAF menyumbangkan bakti. Buat masa ini kita belum ada kata putus dan ia belum diperhalusi secara jelas mengenai cara pentadbiran, pengurusan serta lain-lain. Kita kena perhalusi dan susun balik apa yang perlu,” katanya di sini, hari ini.

https://i1.wp.com/semuanyabola.com/app/uploads/2019/06/65046380_2603507796360571_8795831102217388032_o-1200x800.jpg?resize=750%2C500&ssl=1
Felda United menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10

Utusan Malaysia, hari ini melaporkan FUFC yang akan dilepaskan oleh Felda berkemungkinan besar diletakkan di bawah pengurusan KAF yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Felda yang berhadapan kemelut kewangan ketika ini melihat NGO yang terdiri daripada generasi baharu Felda, sesuai untuk mengambil alih kelab tersebut, malah difahamkan KAF sendiri telah memberikan bantuan kewangan kepada pasukan berkenaan.

Dalam pada itu, Amizar berkata, Biro Sukan KAF akan mengadakan perbincangan mengenai perkara berkenaan dalam masa terdekat yang mana hasilnya akan dibentangkan kepada NGO itu sebelum sebarang keputusan diambil.