Lepaskan 16 pemain JDT II, buka peluang pemain muda JDT III, JDT IV

Baru-baru ini, Pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja telah berkongsi informasi mengenai bolasepak secara ‘live’ menerusi laman sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers.

Tunku Mahkota Ismail atau lebih mesra dengan nama TMJ, mengumumkan kira-kira 16 orang pemain dari pasukan JDT II akan dilepaskan bagi membuka peluang buat pemain-pemain muda dari skuad JDT III dan JDT IV untuk terus mendaki hierarki dalam kelab Harimau Selatan tersebut.

“Apa yang kami buat? Saya tiada pilihan melainkan terpaksa melepaskan 16 pemain dan 3 orang staf. 16 pemain JDT II akan keluar dari pasukan. Sebab, JDT II sebagai reserve club, umur pemain sudah 26-27 tahun, no point.

“Jadi saya perlu memberikan peluang kepada pemain JDT III, JDT IV untuk dinaikkan, bagi memastikan tiada blockage dari perspektif perkembangan pemain.

Kemudian, TMJ meneruskan penjelasan mengenai situasi jurulatih JDT II yang akan menggunakan jurulatih dari Sepanyol mulai musim hadapan.

“Mengenai jurulatih, saya terpaksa menolak beberapa jurulatih yang sudah tak relevan lagi dengan kelab. Kami mungkin akan melantik jurulatih dari Sepanyol untuk JDT II, bagi memastikan falsafah JDT dari pasukan utama sehingga pasukan JDT U12 selaras. Kita perlu bermain bola sepak yang sama.

Selain itu, TMJ juga turut menjelaskan tiada pemain yang diambil untuk pasukan JDT musim 2020 dan fokus diberikan kepada stadium baru. Dengan melepaskan 16 orang pemain berserta 3 orang staf JDT mampu jimat sehingga RM5.6 juta.

“Sebagai contoh kita mahu save kita punya bajet, pasal kita akan keluarkan banyak duit untuk stadium baru kita tahun depan.