Malaysia Cup: JDT bawa bekalan tipis 2-1 atasi Selangor

JDT bawa bekalan tipis 2-1 selepas mengatasi Selangor pada aksi Separuh Akhir Pertama Piala Malaysia 2019 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, malam tadi.

JDT yang juga juara Piala Malaysia musim 2017 memulakan serangan ke pintu gol lawan menerusi Syafiq Ahmad namun rembatan sedikit tersasar. Bagaimanapun, hantaran cantik Hariss Harun yang mencari Syafiq sekali lagi berjaya membuahkan hasil untuk meletakkan JDT di depan pada minit 15.

Image
Syafiq Ahmad meledak gol pertama JDT pada minit 15. Foto: JST

Berselang 2 minit, Ifedayo menyamakan kedudukan 1-1 selepas pemain itu tidak dikawal dan mudah menewaskan Farizal Marlias.

JDT hampir hampir menambah gol melalui gerakan cantik Leandro yang menguis bola kepada Safawi untuk cuba menghantar ke Syafiq, namun sepakan lintangnya ditampan pertahanan.

Masuk babak kedua, JDT bangkit untuk memburu gol. Hasilnya, rembatan padu Leandro Velazquez memberikan kedudukan 2-1 buat JDT pada minit 49.

Selangor hampir menyamakan kedudukan sekali lagi, selepas sepakan Ifedayo hanya singgah di tiang gol dengan Farizal pun sudah tertewas. Berbaki 5 minit terakhir kelihatan kedua-dua pasukan tampak keletihan dan keputusan 2-1 kekal sehingga wisel penamat.

JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam pada 26 Oktober ini untuk pertembungan kedua sebelum pemenangnya layak ke pentas Akhir yang dijadualkan berlangsung pada 2 November 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.