Malaysia Cup: JDT benam Terengganu FC untuk ke Separuh Akhir

Johor Darul Ta’zim mengesahkan slot ke Separuh Akhir Piala Malaysia selepas membelasah Terengganu FC 4-1 pada perlawanan ke-2 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos semalam.


JDT layak menerusi agregat 5-1 sekaligus membalas dendam kegagalan layak ke final kepada finalis Piala Malaysia tahun lalu.


Image

Pada aksi semalam, seawal minit perlawanan JDT mempunyai peluang gol namun percubaan Safawi Rasid berjaya dikekang pelawat.


Walaubagaimanapun kehadiran gol pertama terhasil juga pada minit 15 menerusi sepakan penalti selepas pengadil mengesan berlaku tarik menarik di dalam kotak penalti.


Gonzalo Cabrera tidak berdepan masalah untuk meletakkan JDT 1-0 di depan dengan agregat 2-0. Safawi Rasid terus meletakkan JDT selesa apabila sepakan percumanya berjaya menerjah jaring lawan pada minit 21.


Safawi terus mengambil peluang untuk mencetak gol kedua peribadinya malam itu dengan melepaskan rembatan terus ke gawang sebaik menerima hantaran dari Diogo Santo untuk kedudukan 3-0 dengan agregat 4-0 pada minit 36.


Berselang 5 minit, gerakan menarik Corbin Ong yang melorongkan bola kepada Cabrera terus mengesahkan derita buat pelawat untuk gol keempat dengan agregat kini 5-0 pada minit 41.


Terengganu FC cuba bangkit mengejar kedudukan menerusi Lee Tuck pada minit 45 untuk kedudukan semasa 4-1 dengan agregat 5-1.


45 minit sahaja 5 gol terhasil namun tidak pada separuh masa kedua selepas JDT memperlahan rentak permainan sebaliknya hanya menguasai permainan secara keseluruhan.


Counter attack yang cuba dilakukan pelawat berjaya ditangkis dan dipatahkan pertahanan JDT.


Keputusan tersebut kekal dengan JDT mengesahkan tempat menantikan keputusan Selangor dan Perak di Separuh Akhir yang dijadual berlangsung 16 Oktober depan.