Malaysia Cup: JDT tewas tipis kepada Kelantan kerana pengadil

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Benjamin Mora mengakui pemain muda Kelantan menjadi senjata utama menyukarkan pergerakan pasukannya sehingga terpaksa akur dengan kekalahan 0-1 pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV (SSMIV), malam tadi.

Mora berkata, dalam perlawanan itu, apa yang dirancang pasukannya serba tidak menjadi selepas menerima tekanan yang cukup kuat daripada pasukan lawan sejak minit awal perlawanan.

“Seperti kita tahu perlawanan ini menjadi sukar kerana banyak tekanan awal diberi pemain lawan pada 20 hingga 25 minit separuh masa pertama.

“Pemain muda mereka mempunyai semangat berlawan cukup kuat terhadap JDT walaupun kita sudah cuba mempelbagaikan gerakan dan melakukan ‘overlapping’.

“Selain itu keadaan padang juga tidak begitu baik kerana faktor itu (padang) cukup penting dalam bola sepak namun itu bukan alasan kepada kekalahan ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Mora berkata, pasukannya mempunyai beberapa peluang yang baik namun gagal memanfaatkanya sebaik mungkin untuk menjaringkan gol.

“Mereka (pemain) sudah berjuang dengan baik cuma dalam beberapa situasi tidak menyebelahi pasukan.

“Selepas ini JDT akan terus berusaha dengan meningkatkan permainan sekali gus memperoleh keputusan terbaik dalam saingan Piala Malaysia,” katanya.

Dalam sidang media yang sama, Pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa mempersoalkan mutu pengadilan dalam perlawanan itu.

“Mereka (pengadil) tidak memberikan kami penalti yang sepatutnya, adalah menjadi faktor penting dalam mana-mana perlawanan sebagai pengadil melakukan keputusan yang baik bagi kedua-dua pasukan.

“Mereka mesti melihat semula tindakan yang diambil kerana ia memberi satu kesan besar dalam sesebuah perlawanan,” katanya. BH