MFL umum jadual Liga Malaysia 2020

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan jadual baharu Liga Super bagi musim 2020 yang bakal membuka tirainya bermula dengan perlawanan Piala Sumbangsih pada 28 Februari ini.

Perlawanan Piala Sumbangsih diantara juara Liga Super 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang juara Piala FA 2019 iaitu Kedah yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim dan bakal menjadi perlawanan tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun, hanya jadual bagi 5 perlawanan pertama sahaja disahkan oleh MFL dengan mengambil kira jadual pertandingan AFC Champions League 2020 yang disertai oleh JDT dan pasukan Kedah jika layak ke peringkat kumpulan.

Penjadual juga merujuk kepada aksi Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, Piala AFF 2020 serta jadual perlawanan skuad kebangsaan mengikut Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Jadual tersebut hanya untuk aksi 11 perlawanan untuk pusingan pertama sambil dikongsikan juga aksi bagi saingan Liga Premier musim 2020. Ianya turut memaparkan pasukan yang bakal beraksi bagi pasukan Feeder yang baharu iaitu Selangor FC dan Perak, Selangor 2 dan Perak II bagi Liga Premier.

Baki jadual perlawanan yang akan datang diumumkan kemudian setelah mendapat kelulusan daripada Ahli Lembaga Pengarah MFL. Selain daripada itu, tarikh-tarikh undian dan perlawanan Piala FA 2020 turut diambil kira dalam penyediaan jadual Liga Malaysia musim ini.