MKN sahkan penyokong boleh hadir ke Stadium bermula April

May be an image of 4 people and text that says 'DHDR JUUHO OHOR PORTER MFL MERAKAMKAN PENGHARGAAN KEPADA KERAJAAN DI ATAS KEBENARAN KEMASUKAN PENONTON KE STADIUM BERMULA PERLAWANAN KEENAM LIGA SUPER MALAYSIAN MAL OOTBALL LEAGUE MFL'

Berita yang mengembirakan semua peminat dan penyokong bolasepak tanahair apabila keputusan untuk permohonan kemasukan penyokong ke stadium telah diluluskan dan dibenarkan dengan syarat ketat. Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi sidang media oleh Menteri Kluster Keselamatan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakub mengesahkan para penyokong boleh hadir ke stadium mengikut kapasiti yang telah ditetapkan.

Bermula April, penyokong dibenarkan masuk ke Stadium dengan jumlah 10% atau 2,000 penyokong bagi kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan 25% atau 8,000 penyokong bagi kawasan di bawah PKP Pemulihan (PKPP). Jumlah tersebut adalah mengikut kapasiti stadium dan bergantung kepada jumlah mana yang lebih rendah.

Malaysian Football League (MFL) dalam satu kenyataan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak kerajaan di atas kelulusan membenarkan penonton masuk ke stadium bermula 2 dan 3 April 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, beliau optimis keputusan itu bukan sahaja disambut baik oleh penyokong sebaliknya bakal menjadi suntikan semangat kepada kelab-kelab Liga Malaysia.

Jelas Dato’ Ab Ghani, senario bola sepak Malaysia sudah setahun sunyi tanpa sorakan penyokong sebagaimana kali terakhir penonton dibenarkan ke stadium sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 di mana Liga Malaysia terpaksa ditangguhkan pada 16 Mac 2020.

Katanya, dua perlawanan Liga Super keenam iaitu pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC pada 2 April 2021 dan Kuala Lumpur City FC bertemu Sabah FC pada 3 April 2021 bakal dijadikan projek perintis bagi perlawanan kemasukan penonton pada Liga Malaysia musim ini.

Tambah Dato’ Ab Ghani, kedua-dua perlawanan simulasi ini cukup penting bagi mendapatkan kelulusan membenarkan kelab membenarkan penonton ke stadium melalui proses penilaian MFL di mana venue tersebut layak jika kriteria-kriteria itu lengkap berdasarkan syarat ditetapkan.

“MFL ingin merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang telah membenarkan penonton kembali ke stadium pada bulan ini.

“Ini adalah satu petanda positif kepada semua penyokong terutama industri bola sepak sendiri di mana hanya kejohanan bola sepak sahaja dibenarkan penonton ke stadium.

“Bagaimanapun, MFL tetap akan memastikan gelembung sukan kekal terpelihara serta terus mengekalkan amalan operasi prosedur standard (SOP) di sebalik kebenaran kemasukan penonton bermula bulan depan.

“Nasihat saya kepada penyokong, sama-sama kita mengekalkan pematuhan SOP dalam misi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dan ingatlah bahawa jangan kita sesekali tidak memanfaatkan peluang ini selepas pihak kerajaan membenarkan penonton ke stadium,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa yang sama, Dato’ Ab Ghani turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP di mana setiap pasukan telah pun diberikan kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung menerusi dua kaedah iaitu Home dan Camp Quarantine.

“MFL menyedari bahawa ia bukan satu perkara mudah bagi industri bola sepak negara buat masa ini tetapi saya percaya keharmonian Liga Malaysia akan kekal terjaga jika kita semua memainkan peranan sebagaimana kita telah berjaya lakukan iaitu bebas daripada sebarang kluster sepanjang penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2020.

“Malah harapan MFL juga adalah kami mahu venue diceriakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

“Saya juga mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di atas sokongan kepada bola sepak tempatan sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada musim 2020 dan musim 2021,” ujarnya.

Sebagai rekod, formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat PKP.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur dibenarkan.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula menyaksikan 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan.

Sementara SOP berkaitan pasukan, mereka hanya mengambil ujian RTK Antigen seminggu sekali sahaja berbanding diwajibkan mengambil setiap perlawanan dalam pelaksanaan ujian RTK Antigen sebelum ini.