Pemain JDT setuju pemotongan gaji 33%

Atas dasar perikemanusiaan ekoran penularan wabak Covid-19 yang telah melanda semua lapisan masyarakat, para pemain, jurulatih dan kakitangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33% dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.

JDT menjadi pasukan pertama yang dilihat berbuat demikian tatkala tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) hampir masuk ke fasa ke-2. PKP telah mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu sehingga 31 Mac, dan telah disambung untuk fasa kedua sehingga 14 April 2020.

Berikutan itu, banyak sektor-sektor utama terpaksa menutup operasi termasuk yang memberi kesan menyeluruh kepada mereka-mereka yang bekerja kais pagi makan pagi, kais petang makan petang yang menyebabkan kesan terputus bekalan makanan.

Sumbangan yang dilakukan oleh semua pemain JDT, jurulatih dan kakitangan dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung. Semoga semuanya akan beransur pulih.

Liga Malaysia 2020 turut ditangguhkan dan semua penglibatan sukan ditangguh sehingga tempoh PKP tamat. Dalam perkembangan lain, kes positif kian bertambah dan terus meningkat dari sehari ke sehari. Oleh itu adalah diingatkan juga untuk kita semua agar duduk rumah dan sama-sama mencegah penularan wabak covid-19 ini.

Image