Penang FC tumbangkan ego Selangor

Kecemerlangan mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak dapat diteruskan Selangor FC (SFC) apabila ‘DNA Jerman’ terkulai 2-0 di tangan Penang FC (PFC) pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.

Ini menyaksikan Penang FC di bawah kendalian Tomas Trucha yang berwajah mirip pengurus Liverpool, Jurgen Klopp itu bangkit meraih kemenangan pertama selepas gagal mengutip mata penuh dalam tiga perlawanan terdahulu.

‘The Red Giants’ pula terpaksa akur terus keciciran mata demi mata dengan satu-satunya kemenangan yang diraih mereka pada musim ini adalah pada aksi pertama ketika menentang Sri Pahang FC.

Pemain Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri (dua dari kiri) cuba menanduk masuk ke dalam gawang Penang FC dalam perlawanan Liga Super 2021 di Stadium MBPJ. - Foto Asyraf Hamzah
Pemain Selangor FC, Muhammad Shahrel Fikri (dua dari kiri) cuba menanduk masuk ke dalam gawang Penang FC dalam perlawanan Liga Super 2021 di Stadium MBPJ. – Foto Asyraf Hamzah

Kemenangan Penang FC malam ini adalah merupakan kemenangan buat kali pertama selepas 13 tahun. Penang FC kali terakhir menang ke atas Selangor pada tahun 2008 dengan jaringan 4-1.

Kemenangan malam ini juga meletakkan Penang FC ke tangga ke-4 di belakang Kedah Darul Aman FC yang turut mencatat kemenangan 1-0 ke atas UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam.

Image

Satu lagi perlawanan, Melaka United pula berjaya memperoleh kemenangan kali pertama selepas menewaskan Kuala Lumpur City 2-1 di Stadium Hang Jebat. Kemenangan ini sekaligus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 5 perlawanan.

Walaubagaimanapun, Melaka United hanya memungut 4 mata selepas FIB membuat keputusan memotong 3 mata akibat keculasan dalam pembayaran tunggakan gaji.