Persahabatan: JDT menang ke atas Skuad Kebangsaan Nepal

Johor Darul Ta’zim (JDT) yang turun bersama skuad muda tidak berdepan masalah untuk menewaskan skuad kebangsaan Nepal 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

JDT membuka tirai gol seawal minit ketiga berpunca daripada bola rembatan Nicolas Fernandez namun bola terkena kaki Devendra Tamang menyaksikan penjaga gol, Bikesh Kutthu hanya melihat bola menerjah jaringnya.

Skuad kendalian Johan Kalin yang tersentak dengan gol awal mula menyusun strategi bagi memburu gol penyamaan tapi agak sukar untuk melepasi benteng pertahanan yang dikawal Mohd Fadhli Shas dan Adib Zainuddin.

JDT yang bersama barisan pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) jelas menguasai perlawanan menerusi gerakan berbahaya bermula di posisi tengah yang direncana Fernandez sambil dibantu S Kumaahran kerap mengkucar-kacir benteng skuad The Gorkhalis.

Bersambung babak kedua, JDT yang dibimbing Ervin Boban terus mengasak ke kubu anak didik Kalin namun bola rembatan Fernandez pada minit ke-57 sempat dihalang pemain pertahanan pelawat.

Percubaan terbaik tuan rumah hadir pada minit ke-69 apabila bola sepakan percuma Rozaimi Abd Rahman dari jarak 25 meter menuju tepat ke gawang gol namun Bikesh bersedia untuk menampan bola.

Kedudukan 1-0 yang memihak JDT kekal sehingga tamat perlawanan. – HM