Piala Sumbangsih 2020 akan berlangsung pada 28 Februari depan

Malaysian Football League (MFL) hari ini menetapkan tarikh bagi perlawanan Piala Sumbangsih musim 2020 akan berlangsung pada 28 Februari tahun hadapan.

Perlawanan tersebut akan menemukan antara Juara Liga Super Malaysia musim 2019, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juga Juara Piala FA musim 2019, Kedah. Ini kerana Juara Piala Malaysia 2019 menjadi milik JDT.

Perlawanan pembukaan itu akan dilangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri yang menjadi gelanggang rasmi pasukan JDT.

MFL mendedahkan prosedur dan proses ECP menjadi faktor sepak mula Liga Malaysia bermula pada akhir Februari tahun depan di mana proses untuk menyemak setiap bajet daripada setiap pasukan mengambil masa sebulan.

Dan keputusan mengenai tarikh penjadualan Liga Malaysia ini telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat pada Khamis lalu (12 Disember).

“Kesemua pasukan harus menyerahkan bajet kepada MFL sebelum tarikh tutup pada 15 Disember ini di mana MFL akan mengenalpasti atau mengesahkan kos sebenar skuad utama mereka yang dibenarkan pada 15 Januari tahun depan.

“Kemudian pasukan-pasukan barulah dibenarkan untuk mendaftarkan pemain sebaik jendela perpindahan pertama Liga Malaysia dibuka pada 16 Januari hingga 15 Mac tahun depan.

“Jadi proses dan prosedur ECP ini harus dipatuhi oleh setiap pasukan Liga Malaysia dan menyaksikan saingan akan bermula pada 28 Februari tahun depan. Tempoh masa ini bagi memastikan persediaan mereka berada dalam tahap terbaik selaras pengenalan ECP pada musim depan,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.