Pique jemput TMJ ke Nou Camp sertai perlawanan amal bersama pemai Barcelona

Pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bakal berkongsi padang dengan bintang ternama dunia selepas dijangka menyertai perlawanan amal bersama pasukan gergasi bola sepak dunia, Barcelona.

Menerusi satu kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu mendapat jemputan menyertai perlawanan amal terbabit daripada tonggak pertahanan skuad Catalan, Gerard Pique.

“Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique menjemput Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan wakil dari pasukan JDT untuk menyertai perlawanan amal bersama pemain Barcelona dan ‘sahabat dan keluarga’ Barcelona di Nou Camp pada 21 Mei 2019,” kata kenyataan terbabit, hari ini.

Dalam perkembangan sama, prestasi memberangsangkan skuad Harimau Selatan pada kempen sulung Liga Juara Juara (ACL) mula menunjukkan hasil selepas skuad bimbingan Benjamin Mora muncul pasukan nombor satu di Asia Tenggara.

Berdasarkan kemaskini dilakukan laman bola sepak, FootyRankings pada Selasa lalu, JDT melonjak ke kedudukan 32 terbaik Asia sekali gus menggungguli ranking pasukan daripada Asia Tenggara.

Kedudukan JDT itu menyaksikan mereka memintas kelab dari Filipina, Ceros Negros yang kini berada di kedudukan ke-33 manakala kelab gergasi Thailand, Buriram United menduduki kedudukan ke-36.

Kejayaan menundukkan juara bertahan ACL, Kashima Antlers dan keputusan seri diraih ke atas pasukan dari Korea Selatan, Gyeongnam FC di laman sendiri menjadi faktor utama peningkatan mata JDT.

Sebagai rekod, penampilan pertama JDT di pentas tertinggi benua Asia itu menyaksikan mereka menghuni tangga tercorot Kumpulan E dengan empat mata namun masih berpeluang mara ke pusingan seterusnya ketika aksi masih berbaki satu perlawanan.

Malah, mereka turut mendominasi saingan domestik dengan berkelebihan lima mata di persada liga sekali gus membolehkan laluan automatik ke saingan ACL bagi musim hadapan terbuka luas.