Portimonense perkenal Safawi Rasid secara rasmi

PEMAIN sayap JDT, Safawi Rasid diperkenalkan secara rasmi bersama pasukan kelab barunya, Portimonense SC di Stadium Perbandaran Portimao, Portugal pada Rabu.

President Portimonese SC Rodiney Sampaio dalam sidang media berharap dengan kehadiran Safawi ke dalam pasukan kelabnya dapat menguatkan lagi barisan serangan memandangkan bintang Johor Darul Ta’zim itu mempunyai kemahiran teknikal yang baik.

“Ramai masih belum tahu mengenai dia (Safawi) dan keadaan sama seperti ketika kami membeli (pemain Jepun), Shoya Nakajima (dari FC Tokyo pada 2017), tapi saya harap dia dapat capai kejayaan sama seperti Nakajima,” katanya menerusi laman sesawang kelab www.portimonense.pt.

Image
Safawi ketika menjawab pertanyaan media. Foto: Portimonense SC

Menurut kenyataan kelab, pemain berusia 23 tahun yang dipinjamkan dari JDT selama semusim dan dengan tawaran perpindahan kekal. Sementara itu, Safawi sudah bersedia membantu kelab mencipta kejayaan dan berharap diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya.

“Saya tidak sabar untuk beraksi bersama kelab ini dan berharap dapat menyumbang kepada pasukan.

“Saya kenal beberapa pemain yang menjadikan pasukan kelab ini sebagai batu loncatan untuk menyertai pasukan lebih besar seperti Nakajima dan pemain Brazil Bruno Tabata yang menyertai Sporting Lisbon, tapi saya di sini untuk menyumbang kepada kelab,” kata pemain sayap Harimau Malaya yang akan menyarung jersi bernombor 29.

Menerusi video berdurasi 1 minit 20 saat itu, bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dilihat berada dalam bilik persalinan kelab Portugal itu.

Turut dipaparkan jersi utama kelab berwarna hitam putih yang akan dipakai Safawi bernombor 29 sebelum pemain itu yang berpakaian lengkap berjalan di terowong menuju ke padang stadium.

Pemain itu juga menunjukkan kemahiran mengawal bola di padang utama kelab baharunya itu selain dipaparkan juga beberapa kemudahan di kelab termasuk gimnasium.