Safawi pertama berharga skuad Harimau Selatan

Safawi melakar sejarah sebagai pemain tempatan pertama yang berjaya meraih gol di saingan elit kelab-kelab Asia itu dengan jaringannya pada minit ke-60. Johor Darul Ta’zim (JDT) tewas kali kedua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) apabila tunduk 2-1 di tangan Shandong Luneng pada Selasa, namun kelibat Safawi Rasid curi tumpuan.

Bahkan, penulis berasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga wajar mempertimbangkan untuk menghantar rakaman jaringan itu kepada FIFA untuk Anugerah Puskas. Meskipun FAM sudah mencalonkan jaringan Syahmi Safari di separuh akhir Piala Suzuki AFF lalu ke anugerah tersebut, penulis secara peribadi berasa jaringan Safawi juga layak dihantar.

Rembatan dari luar sebelah kiri kotak penalti Shandong itu gagal disekat pertahanan kelab China dan terus menewaskan penjaga gol, Wang Dalei. Sememangnya Safawi kini adalah permata bola sepak negara yang paling menyinar.

Sejak berhijrah ke JDT dari T-Team pada 2017, pemain kelahiran Dungun ini bertambah matang. Meskipun dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018, Safawi kini terus menjelmakan peningkatan.

Image may contain: 3 people, people playing sports, outdoor and nature
Safawi Rasid antara tonggak penting JDT. Foto: JOHOR Southern Tigers

Corak permainannya juga sesuai dengan permainan bola sepak moden kini, di mana Safawi adalah seorang yang berkaki kidal tetapi selesa bermain di sebelah sayap kanan. Bukan mudah buat mana-mana pemain beraksi dengan baik selaku seorang pemain sayap “inside left”, tetapi Safawi tampak cukup serasi beraksi di posisi itu.

Tidak mudah juga buat mana-mana pemain muda tempatan berada dalam kesebelasan utama JDT, tetapi Safawi juga buktikan dia mampu bersaing merebut tempat. Penulis ingin melihat Safawi mencapi potensi yang dimilikinya secara maksima dan terus membawa permainannya ke tahap lebih tinggi.

Tidak lama dulu dalam satu temubual dengan media arus perdana tempatan, Safawi pernah berkata dia tidak ke kelab Thailand meskipun Liga Satu Thai adalah antara liga terbaik rantau ini. Sebaliknya, Safawi akan hanya bersedia berhijrah dari JDT jika mendapat tawaran dari kelab Korea Selatan mahupun Jepun.

Penulis setuju dengan pandangan matang yang disuarakan Safawi itu kerana di JDT, dia sudah berjaya membentuk kematangan dirinya sebagai seorang pemain profesional. Dan penulis percaya, potensi yang dipamerkan dalam saingan ACL, pasti menarik minat pencari bakat Liga K dan J dalam masa terdekat.

Syabas JDT, kerana berjaya membentuk pemain berusia 22 tahun ini dengan jayanya setakat ini. Penulis percaya, Safawi kini boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi buat pemain-pemain muda yang menceburi bola sepak.

Penulis oleh; Fadzrie Hazis