Salah satu momen yang membanggakan dalam hidup

Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim menyifatkan bahawa semalam merupakan detik paling membanggakan buat dirinya apabila melihat skuad Harimau Selatan beraksi dalam kancah Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.

Dipetik daripada ‘tweet’ oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu, baginda menghamburkan kata pujian buat JDT yang mencipta sejarah beraksi di pentas tertinggi buat kelab Asia itu.

TMJ juga turut meluahkan rasa bangga terhadap para pemain JDT yang masih mampu untuk mempamerkan corak permainan baik walaupun berdepan dengan pasukan yang merupakan juara bertahan saingan tersebut.

Apa yang telah dipersembahkan oleh JDT pada perlawanan petang semalam bukan sahaja membanggakan TMJ, malahan rata-rata peminat bola sepak tanah air turut tidak melepaskan peluang bagi memberikan komen positif terhadap persembahan wakil Malaysia tersebut.

Gonzali Cabrera diasak pemain Kashima Antlers. JDT tewas 1-2 kepada juara bertahan, Kashima Antlers. Foto: the-afc.com

Antara pemain yang mencuri tumpuan pada perlawanan tersebut adalah Farizal Marlias yang berjaya menafikan sepakan penalti Serginho pada minit ke-15 serta beberapa kali menyelamatkan gawangnya dengan cemerlang.

Aksi yang dipamerkan Adam Nor Azlin juga menjadi bualan peminat bola sepak tanah air. Selain Kashima Antlers, JDT turut berada bersama-sama Shandong Luneng (China) dan Gyeongnam FC (Korea Selatan) dalam kumpulan E.

Semoga JDT dapat mengharumkan nama negara dan menjadi pembakar semangat buat pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia untuk mengikut jejak langkah yang sama.

Sumber Bahan: Semuanyabola.com
Kredit foto: Johor Southern Tigers