Selain Sumareh; Piya, Shukor pernah gunakan klausa 8.7

Sumareh Bebas Sertai JDT - Axello

Rupa-rupanya klausa 8.7 yang diaktifkan oleh Mohamadou Sumareh untuk menamatkan kontraknya dengan Pahang bukanlah sesuatu yang asing, sebaliknya pernah diguna pakai oleh beberapa pemain sebelum ini.

Klausa itu membenarkan pemain yang tidak dibayar gaji sebulan atau lebih memohon untuk menamatkan kontrak secara serta-merta.

Ia secara tidak langsung memberikan hak kepada pemain untuk meninggalkan pasukannya jika berdepan dengan masalah tunggakan gaji.

Harian Metro melaporkan, klausa itu juga membolehkan bekas kapten pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi atau dikenali sebagai Piya menamatkan kontraknya serta-merta dan menuntut tunggakan gaji daripada KAFA.

Sehingga ke hari ini, KAFA masih berhutang dengan Piya, dan gajinya dibayar secara ansuran.

Shukor Adan

Klausa yang sama juga digunakan oleh bekas kapten pasukan Melaka United, Shukor Adan yang mencetuskan kontroversi sehingga enggan beraksi untuk pasukannya dalam saingan Piala Malaysia tahun lepas, sebelum menamatkan kontrak dan menyertai Kuala Lumpur musim ini.

Kes itu berlanjutan sehingga awal Januari tahun ini, malah berlaku perbalahan antara Shukor dan presiden Melaka United ketika itu, Damian Yeo sebelum Shukor membuat keputusan untuk membuat aduan rasmi kepada FAM.

Bagaimanapun, selang beberapa minggu kemudian, Shukor mengucapkan terima kasih kepada Damian kerana melaksanakan pembayaran tuntutan gajinya dan beberapa pemain lain dengan segera, serta meleraikan segala salah faham yang timbul sebelum ini.

Justeru, kehadiran klausa itu bukanlah sesuatu yang aneh dan bukanlah alasan yang sengaja dibuat-buat oleh Sumareh, cuma klausa 8.7 tidak diperkatakan secara meluas dalam kalangan media mahupun terdapat perbincangan sedemikian di media sosial. – FT.com