Skuad Bawah 23 Tahun lakar sejarah ke Kejohanan AFC

PEMILIHAN FAM berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa pelbagai program pembangunan bakat muda yang diusahakan badan induk berkenaan kini berada di landasan tepat.

KUALA LUMPUR: Kejayaan tiga pasukan muda negara melakar sejarah tahun lalu dengan melangkah ke pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membolehkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Sukan Dinamik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017, Khamis ini.

Tiga skuad muda negara yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit benua itu ialah Skuad Bawah 23 Tahun, Bawah 19 Tahun dan Bawah 16 Tahun.

Pemilihan FAM itu berdasarkan kepada pengiktirafan bahawa pelbagai program pembangunan bakat muda yang diusahakan badan induk berkenaan kini berada di landasan tepat.

“Pencapaian itu wajar diakui kerana ia peningkatan ketara selepas sekian lama bola sepak negara tidak berjaya untuk beraksi di peringkat tinggi secara kerap.

“Saya percaya pengiktirafan ini akan menjadi pendorong kepada usaha lebih mantap FAM untuk menggapai misi jangka panjang meletakkan bola sepak negara di tahap yang layak dibanggakan,” kata Presiden SAM, Ahmad Khawari Isa.

Pengiktirafan itu juga hadir ketika FAM begitu gigih mencipta gelombang perubahan baru secara komprehensif, termasuklah daripada segi penganjuran kejohanan dan juga pendidikan kejurulatihan.

Antara transformasi yang diusahakan FAM – serentak dengan pemilihan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim – termasuklah memperkemaskan program kejurulatihan, pencarian bakat dan penganjuran liga di peringkat negeri.

FAM juga kini menjalin kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang menjadi kilang penghasilan bakat muda secara berterusan.

SAM akan sekali lagi memberikan pengiktirafan kepada seluruh warga sukan negara menerusi penganjuran Majlis Anugerah SAM-100 PLUS 2017 yang akan berlangsung di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Khamis ini.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS menjadi platform pengiktirafan terbaik selepas rentetan pencapaian hebat atlet negara dalam mewarnai kancah sukan negara sepanjang tahun lalu.

Atlet terbaik akan bersaing untuk dua kategori anugerah utama – Atlet Terbaik SAM-100Plus 2017 dan Atlet Para Terbaik 2017.

Majlis anugerah berkenaan juga memberi pengiktirafan kepada warga kewartawanan sukan menerusi tujuh kategori anugerah dipertandingkan.

Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Siebel’ dengan hadiah wang tunai RM7,000 dan trofi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.