Status Sumareh buatkan Pahang daftar 4 import?

Skuad Pahang dijangka hanya menyenaraikan empat pemain import baharu biarpun status Mohamadou Sumareh selaku pemain tempatan belum disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). 

Setakat ini, Pengendali Dollah Salleh itu mengekalkan pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini. 

Namun menerusi paparan Harian Metro, status Sumareh menjadi tanda tanya kerana MFL sebelum ini memutuskan pemain kelahiran Gambia itu kekal selaku pemain import sehingga Mac ini. 

Bagaimanapun, Sumareh sudah menyarung jersi kebangsaan ketika membantu skuad Tan Cheng Hoe muncul naib juara Piala AFF Disember lalu meskipun status untuk digelar pemain tempatan hanya berlaku pada Mac ini.

Bagi pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang, skuad itu akan menyenaraikan empat pemain import baharu kerana yakin Sumareh sah sebagai pemain tempatan. 

FOTO: MFL

“Kita harap MFL membenarkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan kerana dia juga pemain naturalisasi yang beraksi pada Piala AFF lalu. 

“Mengikut perancangan, Pahang akan menyenaraikan dua penyerang import dan masing-masing seorang di posisi tengah dan pertahanan,” katanya. 

Sebelum ini, Pahang telah membuat rayuan kepada MFL untuk mendaftarkan Sumareh sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga M musim 2019. 

MFL juga memberi maklumbalas dengan mengesahkan Pahang yang juga juara Piala FA boleh mendaftar Sumareh sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga M musim 2019. 

Bagaimanapun, pemain kelahiran Gambia itu hanya boleh didaftarkan bermula Mac 2019 sekali gus menyaksikan dia tetap mengisi kuota pemain import pada jendela perpindahan pertama sebelum boleh bertukar status pada jendela perpindahan kedua.