Syed Saddiq hasrat kembangkan sukan permotoran


SILVERSTONE: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini berada di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan bukan lagi Kementerian Kewangan seperti sebelum ini.

Pertukaran itu bakal memperkukuhkan lagi pendekatan SIC dalam usaha menjadi hub sukan permotoran terkemuka terutamanya di rantau Asia Tenggara.

“Sebelum ini Litar Antarabangsa Sepang diletakkan di bawah Kementerian Kewangan tetapi sekarang ini diserapkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan,” kata menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Sebab utamanya adalah untuk kita mendekati golongan belia khususnya ‘mat motor’ dalam usaha kita mencari penyelesaian bersama selain mengiktiraf sukan permotoran sebagai sukan yang begitu penting di hati rakyat Malaysia.

“Misi saya nak pastikan Litar Antarabangsa Sepang dijadikan hub sukan permotoran Asean – ada perlumbaan seperti drag, F2, F3, F4, MotoGP – supaya akhirnya ada pembangunan komprehensif dan di bawah KBS, ini akan dijadikan fokus kami.”

Awal pagi tadi di Sirkit Silverstone, Syed Saddiq berada dalam sesi pengumuman rasmi pasukan pertama MotoGP negara, PETRONAS Yamaha Sepang Racing yang bakal membuat penampilan pertamanya di Kejuaraan Motosikal Dunia, tahun depan.

Mengulas lanjut mengenai tumpuan kementerian dalam usaha membangunkan sukan permotoran, Syed Saddiq berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama penggiat arena berkenaan termasuk golongan belia yang meminati permotoran dalam tempoh sebulan akan datang.

“Menerusi pertemuan ini, saya berharap kami dapat menemui titik pertemuan dan akhirnya suara mereka diambilkira dalam usaha merangka masa depan sukan permotoran di Malaysia,” katanya.