TMJ terima jemputan bertemu skuad kebangsaan Brazil

DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja telah berkenan bertemu beberapa pemain skuad kebangsaan Brazil di Singapura semalam.

Menurut paparan perkongsian dari laman sosial rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, Tunku Ismail meluangkan masa bersama bintang-bintang Brazil antaranya kapten Brazil Dani Alves; pemain bintang PSG, Neymar; Thiago Silva, Gabriel Jesus, penyelaras pasukan, Juninho Paulista; juara Piala Dunia 1994 Bebeto dan beberapa lagi pemain.

Pertemuan di Singapura ini lanjutan dari delegasi lawatan rasmi dari Brazil ke Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim yang kagum dengan projek JDT yang diiktiraf sebagai yang terbaik di Asia Tenggara pada hari Jumaat lalu.

Skuad kebangsaan Brazil juga berada di Singapura untuk aksi persahabatan antarabangsa bertemu Senegal dan Nigeria. Tidak mustahil selepas ini skuad kebangsaan yang sama akan kembali ke Johor untuk aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.