Tony dilantik pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia

Tokoh korporat Tan Sri Tony Fernandes telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang baharu bagi menggantikan Datuk Rozabil Abdul Rahman.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi kenyataan hari ini berkata pelantikan Fernandes adalah tepat berikutan statusnya sebagai ahli korporat terkemuka dapat membantu serta melakukan penambahbaikan struktur dan operasi PSM, serta memulihkan keadaan kewangan semasa PSM yang kini mengalami kerugian sebanyak RM11 juta.

Syed Saddiq berharap pelantikan itu dapat memajukan serta merancakkan lagi aktiviti belia, sukan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan pelbagai aset di bawah PSM secara meluas.

“Penglibatan serta kejayaan beliau di dalam pelbagai bidang komersial, termasuk industri penerbangan (AirAsia), hiburan (Warner Music), perhotelan (Tune Hotels), penyiaran (The Apperentice Asia) adalah sebahagian daripada pencapaian beliau yang amat membanggakan sehingga hari ini. Ini menjadikan beliau sebagai calon terbaik untuk memegang jawatan tersebut.

“Bakat keusahawanan, kreativiti dan kepimpinan beliau ternyata cukup terserlah dan ia dapat dilihat melalui anugerah-anugerah yang telah diraih oleh beliau termasuklah ‘CEO of The Year Award’ dan ‘Entrepreneur of the Year Award’,” katanya.

https://i1.wp.com/harimauselatantv.com/wp-content/uploads/2018/09/1-LLt6JszeoDzJhaUibqyHGQ.jpeg?resize=300%2C200

Tony Fernandes. Foto: Sumber Google

Nama Fernandes dalam bidang sukan juga bukan asing apabila beliau menjadi individu yang memiliki sebahagian daripada kelab yang pernah bermain di Liga Perdana Inggeris iaitu Queens Park Rangers selain pengasas kepada pasukan Formula 1 iaitu Caterham F1 Team.

“Beliau amat mahir tentang selok-belok pembangunan dan promosi sukan bertaraf antarabangsa. Penajaan AirAsia dalam aktiviti sukan tanah air seperti Akademi Badminton AirAsia serta pertandingan e-sports juga menjadi bukti bahawa beliau mempunyai minat yang mendalam untuk menaikkan mutu sukan negara,” katanya. – Bernama