UAE mohon maaf atas insiden pergaduhan

Pergaduhan yang tercetus sebaik sahaja tamat perlawanan. Foto: Sumber Internet

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengemukakan laporan daripada komisioner dan pengadil perlawanan kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) hari ini berkaitan insiden pergaduhan yang mencemari aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berkata beliau bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, telah mengambil tindakan segera yang sewajarnya berhubung insiden pergaduhan pada penghujung perlawanan persahabatan antarabangsa di antara Malaysia B-23 dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) B-23 itu.

“Kami akan membuat tindakan susulan dengan AFC jika ada apa-apa keperluan selepas AFC meneliti laporan daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Stuart, selepas mengadakan perbincangan bersama pihak UAE FA, FAM telah menerima surat rasmi daripada mereka yang meminta maaf atas insiden pergaduhan itu.

“Mereka (UAE FA) mengambil serius apa yang berlaku itu dan akan melakukan siasatan dalaman bagi mengambil tindakan ke atas pemain dan pegawai pasukan berkenaan yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, insiden pergaduhan pemain mencemari kemenangan 2-0 skuad B-23 negara ke atas pasukan dari Asia Barat itu dalam aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam malam tadi sebelum memulakan aksi Kumpulan E dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada 15 Ogos ini.

Pergaduhan tercetus pada lewat babak kedua selepas Mohammed Khalfan Al-Harazi mengasari pemain negara, Adib Zainuddin, sebelum ada tindak balas daripada pemain kedua-dua pasukan.

Insiden bertukar menjadi serius sehingga melarat ke luar padang dan merebak kepada semua pemain, termasuk pemain dan pegawai di bangku simpanan.

Dalam aksi persahabatan terakhir sebelum skuad B-23 negara ke Indonesia Isnin ini, anak buah Datuk Ong Kim Swee memastikan kemenangan hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Rashid (m-64).

-BERNAMA

Pergaduhan yang tercetus sebaik sahaja tamat perlawanan. Foto: Sumber Internet