WCQ: Ledakan Safawi bantu Harimau Malaya baham Garuda

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya menumbangkan Indonesia 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Harimau Malaya bermula garang apabila penyerang negara, Safawi Rashid berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-30.

Bagaimanapun, jaringan tersebut disambut dingin oleh penyokong lawan apabila berlaku provokasi beberapa minit selepas Malaysia merobek gawang Indonesia.

Namun, insiden tersebut tidak menganggu perlawanan, sebaliknya beberapa cubaan terus dilakukan oleh pemain negara.

Aksi hebat dipamer pemain negara nyata tidak mampu disekat skuad kendalian Yesyen Tumena apabila ego skuad Garuda sekali lagi disentap menerusi jaringan kedua Malaysia.

Aksi cemerlang Safawi sekali lagi berjaya membolosi gawang Garuda pada minit ke-72. Safawi seakan meledak hatrik namun rembatannya hanya singgah di tiang gol pelawat. Begitu juga sepakan percuma yang sedikit melepasi palang.

Perlawanan berakhir dengan Indonesia terpaksa akur dengan kekalahan terturut-turut dalam lima perlawanan.

Kemenangan tersebut sekaligus menyaksikan Malaysia menambah tiga lagi mata menjadikan sembilan kutipan selepas menamatkan lima perlawanan. Keputusan ini juga mencerahkan peluang ke Pusingan Akhir Piala Asia 2023 di China.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia dijadualkan berdepan UAE di Dubai pada 26 Mac 2020, Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020, sebelum menamatkan aksi pusingan kelayakan menentang Thailand pada 9 Jun 2020 di tempat lawan.